Musim peperiksaan menjelang lagi.
Disaat begini ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding
anak-anak. Diantara ibu dan bapa pula, ibulah yang lebih
gemuruh berbanding bapa. Sebagai seorang bapa, saya memahami
perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa. Malah saya
baru sahaja mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini
selesai peperiksaan UPSRnya. Memang pengalaman mendidik anak
orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza.
Jangan pula kerana tekanan yang
kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang
anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut
dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan.
Salah pendekatan kita maka anak
yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari
menjejaskan prestasi peperiksaannya.
Saya teringat bagaimana tahun
lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis
sedangkan PMR hanya tinggal 10 hari sahaja lagi. Setelah
ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia
apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya
kerana dia hanya memperolehi 3A sahaja dalam peperiksaan
percubaannya. Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan
tidak yakin untuk berhadapan dengan PMR yang sebenar. Nasib
baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan. Bagaimana pula
dengan ratusan ribu pelajar lain yang tidak mempunyai tempat
untuk mengadu? Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu
apa persediaan yang perlu dibuat untuk kecemerlangan anak-anak
menjelangnya peperiksaan.
1. Fahami
Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang
bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada
diantara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia
dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku
mereka. Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan
tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak
boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya. Ada
yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya. Sememangnya
perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap
dan tingkah laku ini. Sebagai ibu bapa, kita mesti peka
terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan
tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka. Katakan kepada
mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan dari mereka
hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.
Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik bukan hanya
satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah
ini.
Apabila tinggal beberapa hari lagi
untuk menghadapi peperiksaan, elakkan dari menyuruh mereka
menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui
penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak
bersedia. Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan
menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang
mereka sedia ketahui.
Adalah lebih baik ibu bapa diam
tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak
terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia memberontak lalu
meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal.
Perhatikan sahaja gelagat anak sebab biasanya luahan perasaan
itu bukanlah luahan yang sebenar. Selepas itu, ajak anak
melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari
rumah. Misalnya, adakan masa untuk menonton cerita jenaka
seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga. Ini akan
membuatkan perasaan tegang dalam diri anak mengendur dan dia
kini bersedia untuk kembali belajar semula. Ketika ini,
tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama
jadual ulangkaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah
yang mahu diambil.
2. Tingkatkan
Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri yang tidak mantap
sering menghantui jiwa anak-anak. Ada diantara mereka yang
memang telah membuat ulangkaji sejak awal lagi tetapi tetap rasa
tidak yakin pada diri sendiri. Sebagai ibu bapa kita perlu tahu
bahawa keyakinan itu datangnya dari persediaan. Semakin
bersedia anak kita maka semakin yakinlah mereka. Persediaan ini
pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota
semata-mata. Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima
(input) dan mengeluarkan (output) maklumat.
Proses mendapat maklumat
termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya,
dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan. Proses
mengeluarkan maklumat pula ialah menjawab soalan-soalan seperti
membuat latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan
segala pengetahuan yang telah diperolehi dalam proses mendapat
maklumat itu tadi. Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin
soalan agar mendapat pengalaman. Lebihkan proses latih tubi
untuk mana-mana topik yang agak lemah atau bentuk soalan yang
kurang dikuasai. Seterusnya, perhebatkan simulasi iaitu
menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan
mengikut masa yang telah ditetapkan. Lakukan proses simulasi
ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan
yang sebenar.
3. Dorong Anak
Secara Positif
Ibu bapa hendaklah sering
memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang
positif. Apakah kata-kata positif? Kata-kata positif adalah
kata-kata yang apabila diucapkan akan menghasilkan gambaran
minda yang juga positif.
Misalnya:
bukan "Jangan buang masa" ....
tapi ucapkanlah "Manfaatkan masa",
bukan "Jangan berputus asa"...
tapi ucapkanlah "Berusahalah dengan lebih gigih lagi" atau "Mak
percaya adik pasti BOLEH!",
bukan "Jangan kelam kabut".. tapi
ucapkanlah "Banyakkanlah bertenang",
bukan "Elakkan kecuaian".. tapi
ucapkanlah "Tingkatkan ketelitian dan lebih berhati-hati",
Malah banyak lagi contoh-contoh
yang boleh diberikan.
4. Kerjasama
Sepenuhnya
Apabila seorang anak bakal
menduduki peperiksaan penting maka keseluruhan ahli keluarga
yang ada dalam rumah hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya.
Antaranya, hormati waktu ulangkaji anak itu dengan setiap ahli
keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar. Misalnya
ibu bapa boleh manfaatkan waktu itu untuk membaca bahan-bahan
yang berfaedah. Adik kecil pula diberikan kertas dan pensil
untuk menconteng. Datuk dan nenek, kalau tinggal dirumah yang
sama, gunakanlah waktu itu untuk membaca al-quran. Begitulah
juga dengan yang lain-lain. Pastikan tidak seorang pun daripada
ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang
kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang
sedang bertungkus lumus menghadapi pelajarannya. Dengan cara
ini anak akan dapat rasakan bahawa perjuangannya dihargai.
5. Kurangkan
Aktiviti Luar
Elakkanlah dari terlalu banyak
membuang masa dengan aktiviti diluar seperti keluar membeli
belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan
sebagainya. Ingatlah setiap minit itu amat berharga untuk anak
oleh itu pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang
kepada persediaannya untuk menghadapi peperiksaan sama ada
persediaan mental, emosi, fizikal atau rohani anak-anak.
Tambahan pula, kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan
mereka terhadap perkara yang tidak diingini sama ada dari segi
kesihatan atau keselamatan.
6. Elakkan Anak
Dari Tidur Lewat
Ada yang suka belajar hingga lewat
malam untuk menghabiskan ulangkaji mereka. Jangan biarkan
keadaan sebegini berlarutan. Pastikan anak anda masuk tidur
awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulangkaji
diwaktu awal pagi walaupun hanya untuk dua puluh atau tiga puluh
minit. Diwaktu ini fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu
dan suasana pula nyaman. Banyak maklumat yang dibaca ketika ini
akan diingat untuk tempoh masa yang lebih lama.
7. Berikan Anak
Pelepasan Tugas Harian
Berikanlah anak anda layanan yang
istimewa kerana menjelangnya peperiksaan. Berikan dia bebas
dari melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin
hariannya seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur,
membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.
Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti
kakak, abang, adik atau ibu bapa sendiri. Dengan cara ini anak
yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan bahawa seluruh
ahli keluarga memang benar-benar mahu lihat dia cemerlang. Dia
akan rasa bersalah kiranya waktu yang diperuntukkan untuk
belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang
telah memberikan kerjasama. Dia juga akan sentiasa mengharapkan
suasana peperiksaan sebegini datang lagi kerana seronok mendapat
pelepasan tugas. Anak-anak yang lain tidak ada sebab untuk
cemburu sebab apabila tiba masa mereka maka mereka juga akan
dilayan dengan cara yang serupa.
8. Nyatakan
Ganjaran Dengan Jelas
Jangan biarkan anak anda berteka
teki terhadap ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia
memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan
kepadanya. Kalau ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan
jelas. Tunjukkan gambar tentang apa yang mahu anda berikan
padanya. Kalau ia suatu percutian, beritahu destinasi yang akan
dilawati. Dapatkan juga risalah tentang destinasi tersebut dan
tunjukkan padanya. Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak
akan merangsang jiwa. Misalnya, elakkan dari berkata, "Kalau
abang cemerlang dalam SPM maka emak akan bawa abang melancong",
sebaliknya hendaklah kita berkata, "Kalau abang cemerlang dalam
SPM emak pasti bawa abang ke Langkawi, insyaAllah".
Pastikan apa jua ganjaran yang
mahu diberikan anda mampu menunaikannya. Kalau tidak anak akan
hilang kepercayaan terhadap kita sebagai ibu bapa dan lain kali
janji kita tidak diambil kisah lagi.
Ganjari juga usahanya bukan
sekadar hasil atau pencapaiannya. kalau kita tahu anak telah
berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tetapi
keputusan peperiksaan tidak seperti yang dimahukan maka
berikanlah dia sesuatu sebagai menghargai penat lelahnya itu.
9. Ambil Cuti
Inilah masanya untuk ibu bapa
berikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang
bakal menduduki peperiksaan. Ambillah cuti beberapa hari dan
usahakan untuk hantar sendiri anak ke sekolah pada hari
peperiksaan tersebut. Sepanjang perjalanan terus berikan
kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya. Ingatkan anak
sekali lagi bahawa kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil
yang dia perolehi, yang penting dia telah pun memberikan usaha
yang terbaik. Apa sahaja keputusannya kita terima dan
bersyukur.
10. Banyakkan
Berdoa dan Solat hajat
Tidak ada sesuatu yang lebih
bermakna untuk seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain
daripada doa dan restu dari kedua ibu bapanya. Oleh itu, inilah
masanya untuk kita luangkan lebih banyak masa berdoa untuknya
agar dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan
ketenangan dan diterangkan hati. Berdoalah dengan suara yang
jelas agar didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita
itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat
dan berdoa untuknya. Dengan cara ini mereka akan lebih
menghargainya.
Semoga petua keibubapaan yang
telah diberikan dapat membantu ibu bapa untuk menjadi lebih
cemerlang. Ingatlah, anak-anak bukan kita maka terimalah
mereka seadanya. Yang penting mereka lakukan yang terbaik
mengikut kemampuan diri mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment